"MY NAME IS KHAN, I'm not a terrorist"


"MY NAME IS KHAN, I'm not a terrorist". Ayat yang diulang2 oleh Rizvan Khan dalam filem My name is Khan. Mungkin filem ini sudah lama ditayangkan di pawagam, dan mungkin juga telah lama meniti di bibir2 peminat Hindustan, tetapi bagi saya yang kurang menggemari filem Hindustan baru sahaja menontonnya. DVD tersebut telah lama dibeli, namun baru semalam sempat ditonton, itupun mengambil masa 2 hari untuk menamatkannya.
Saya tertarik untuk menonton filem ini setelah didiskusikan semula di dalam Majalah i. Dalam filem ini, Shah Rukh Khan memegang watak sebagai Rizvan Khan iaitu penghidap Sindrom Asperger. Ini adalah pertama kali saya mendengar Sindrom Asperger, betapa jahilnya saya. Saya terus meng'google' bagaimanakah sebenarnya Sindrom Asperger ini. Secara ringkasnya, Sindrom Asperger menggambarkan pola perlakuan pemuda yang mempunyai perkembangan bahasa dan kecergasan normal tetapi menunjukkan tabiat seperti autisma dan kekurangan jelas dalam kemahiran komunikasi dan kemasyarakatan. Menurut para saintis, ia disebabkan oleh faktor genetik, faktor komplikasi semasa proses bersalin, fator neurological dan neurochemical yang menyebabkan disfungsi otak.
Saya tidak berhajat untuk menerangkan lebih mendalam tentang sindrom ini, cukuplah sekadar kita mengetahui apakah dan bagaimanakah Sindrom ini. Untuk maklumat lanjut, boleh layari link ini, http://ms.wikipedia.org/wiki/Sindrom_Asperger. Berbalik kepada filem ini, Shah Rukh Khan berjaya memegang watak seorang lelaki yang lurus bendul. Mungkin agak kelakar, kerana dia biasa disinonimkan dengan watak macho, bergaya, egoistik, dan segala ciri2 hero yang biasa kita lihat.
Itu adalah sekadar mukaddimah. Kisah ini berkisar tentang perjalanan hidup seorang Muslim penghidap Sindrom Asperger. Rizvan Khan dibesarkan oleh ibu yang amat menyayangi dan memahaminya, mengajarnya tentang hidup dan kehidupan yang baik. "Dalam dunia ini, manusia hanya ada dua jenis, iaitu baik dan buruk, ikutlah manusia yang baik". Dia ingat kata2 ini, kata2 ibunya. Dia meneruskan hidup selepas kematian ibunya dengan berpindah ke Amerika, ke tempat adiknya dan bekerja di sana sebagai penjual produk kecantikan. Dia ingin mencapai hasrat ibunya, "buatlah sesuatu yang membuat dirimu bahagia".
Serangan ke atas Pentagon di bandar New York mengubah segalanya, umat islam di anggap sebagai terrorist. Di dunia nyata, umat islam semakin terancam, dihina, dibunuh dan diseksa tanpa belas kasihan. Lihat saja perlakuan ganas tentera Zionis ke atas Palestin, serangan tentera Amerika ke atas Iraq, kekejaman tentera Amerika ke atas Afghanistan terus menerus tanpa kesudahan. Di mana keadilan untuk umat islam? Di mana PBB? Di mana khalifah2 negara islam? Di mana para mujahid yang akan mengembalikan semula daulah islamiah?
Di dalam filem ini, Rizvan Khan bangkit sebagai seorang Muslim, memperjuangkan haknya untuk hidup sebagai seorang Muslim, menuntut keadilan bagi anaknya yang dibunuh kerana 'KHAN', mencari kembali cinta isteri yang meninggalkannya juga kerana 'KHAN'. Dia bergerak dan bertindak tatkala umat islam lain di Amerika ketakutan dengan mengubah imej dan membuang tudung bagi mengelakkan diri mereka dikenali sebagai Muslim. Dia bergerak seorang diri untuk bertemu dengan Presiden Amerika, hanya untuk menyatakan "MY NAME IS KHAN, I'M NOT A TERRORIST'.
Mungkin saja filem ini bukanlah sepenuhnya menonjolkan ciri2 islam yang sebenarnya kerana terdapat percampuran agama dalam satu keluarga, islam dan Hindu, dan bukanlah juga menonjolkan sepenuhnya ciri2 Amerika yang kelihatan sangat baik dan bertolak ansur (fikir2kan). Tetapi apa yang harus diambil iktibar adalah kebangkitan seorang pemuda yang bergerak atas nama seorang ISLAM untuk menuntut haknya sebagai seorang manusia, dilayan sebagai seorang manusia, dikasihi dan disayangi seperti seorang manusia. Dia ingin membuktikan kepada dunia bahawa islam itu agama kasih-sayang, bukan peperangan dan kebencian. Dia ingin membuktikan bahawa agama islam itu suci, penuh dengan keamanan.
Kebangkitannya berjaya membuka mata warga Amerika dan juga umat islam di Amerika bahawa umat islam berhak untuk hidup sebagai seorang islam dan bangga menjadi seorang islam. Kebangkitannya juga berjaya menaikkan semangat orang lain untuk menjadi diri mereka yang sebenarnya. Dialah Rizvan Khan, penghidap Asperger yang melalui pelbagai rintangan dan cabaran untuk bertemu dengan PRESIDEN Amerika, hanya untuk menyatakan "MY NAME IS KHAN, I'M NOT A TERRORIST".
Filem ini berjaya mendapat box-office di India, dan negara2 lain, tetapi ia disekat daripada ditayangkan di Malaysia. Kenapa? Wallahu'alam. Tidak semua filem itu baik, tetapi ambil kebaikannya, agar ia menjadi sumber inspirasi dan iktibar bagi setiap umat islam untuk bangkit daripada terus ditindas serta menyedari tanggungjawab sebagai seorang islam dan sebagai seorang manusia.


"wahai orang2 yang beriman, jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Kerana Adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan."



"Ya Allah, jangan biarkan kami lalai, kami takut nerakaMu"

0 Response to ""MY NAME IS KHAN, I'm not a terrorist""

Post a Comment