..Di sini tempatmu bermula..









"Assalamualaikum adik-adik.."

"Waalaikumussalam"

"ok, sebelum kita mulakan pelajaran kita hari ini, kita buka majlis dengan ummul kitab al-fatihah beserta doa belajar".

Kami membacanya bersama-sama. Dulu mereka saling tolak menolak apabila disuruh membaca doa, alhamdulillah sekarang mereka telah sepakat untuk membacanya bersama-sama, tanpa disuruh mereka akan tetap juga memulakannya dengan doa.

"Adik-adik ingat tak apa yang akak pesan minggu lepas dan apa yang akak nak buat minggu ni?"

"akak suruh hafal alfatihah, adab membaca al-quran dan semua yang dah belajar sebelum ni". Seorang pelajar menjawab.

"Akak suruh hafal makhraj huruf". seorang lagi pelajar menjawab.

"harini akak nak buat test!!". Satu lagi suara menjawab.

"Ya adik-adik, ingat pun!. Akak pesan suruh hafal semua tajuk yang akak dah ajar sebab hari ni akak nak buat test untuk menguji sejauh mana kamu semua faham apa yang akak dah ajar."

Masing-masing tercengang dan terdiam sesaat dan kemudian saling berbisik-bisik. Mungkin mereka takut, berdebar-debar menanti soalan yang bakal diterima.

"Akak nak kamu semua jawab soalan ni dalam masa 20 minit bermula jam 3.15pm-3.35pm. Kamu semua dilarang meniru. Akak nak masing duduk berjauhan. Bergerak sekarang!. Ikin, edarkan kertas soalan ni." Saya memberi arahan.

Mereka mula menjawab soalan. Satu demi setu dibeleknya. Ada yang termenung melihat soalan, ada juga yang khusyuk menjawabnya. Saya terfikir-fikir sendiri, boleh ke mereka menjawab? susah ke? Mereka study atau tak sebelum ni?. Bermacam-macam soalan bermain di fikiran. tak apalah, nak tau kena tunggu selesai nanti. Sementara itu saya menanda buku nota mereka bagi membetulkan sekiranya ada kesalahan ejaan.


"dah siap belum semua?"

" Belum lagi kak!"

"ok, akak tambah lagi 10 minit". Sementara menunggu mereka menjawab soalan, saya menulis nota untuk tajuk seterusnya, IZHAR KHALQI.

"ok, letakkan pen masing-masing. Masa telah tamat."

Saya mengutip kertas soalan, satu persatu. Banyak jawapan yang kosong!. Hati mula berombak, tapi sedaya upaya mengawal situasi.

"ok, akak nak kamu semua berkumpul macam biasa!."
"Adik-adik...akak dah pesan sebelum kan, akak nak kamu semua hafal apa yang akak dah ajar. Kamu semua hafal atau tak? Akak tanya warden, kamu semua pack ke dengan jadual? tapi tak! banyak waktu yang kosong. Apa yang kamu buat seminggu ni?"

Mereka semua menunduk. Terdiam. Mungkin mereka tidak percaya saya akan marah sebegitu kepada mereka.

"Adik-adik, akak datang sini bukan saje-saje. Akak ada misi, begitu juga pengajar-pengajar yang lain. Kalau diberi peluang, akak nak datang sini hari-hari tapi akak tak ada kesempatan. Kadang-kadang ada sampai sebulan akak tak datang, akak tak mampu. Sejam perjalanan akak datang ke sini untuk mengajar, akak tak mintak apa-apa dari kamu semua. Cuma apa yang akak nak, kamu belajar bersungguh-sungguh, gunakan peluang kamu di sini untuk mencari ilmu sebanyak mungkin. Berapa orang pengajar yang mengajar di sini?" Saya bertanya.

"emmmm...berapa ye.. banyak jugak kak.." Perlahan dan tersekat-sekat dijawabnya.


" Ya, ramai... Kamu nak mereka datang sini sia-sia? Mesti tak nak kan? Akak tak nak kamu baik di sini, sopan menutup aurat, bertudung labuh, apabila keluar tinggalkan semua, lupakan semua. Akak tak nak apa yang kamu pelajari di sini kamu lupa semuanya di luar nanti. Tolonglah adik-adik, bantu diri kamu untuk berubah!. Akak tak berniat untuk marah kamu semua, tapi ini untuk kebaikan. Bila akak tanya faham ke tak, jawab! Kalau tak faham, bagitau tak faham, akak akan terangkan semula. Akak lagi suka kamu bertanya. Mungkin agak sukar untuk kamu semua menghafal semua ni, tapi tolong paksa diri kamu. Kamu takkan berjaya kalau kamu tak paksa diri kamu untuk berubah. Dulu waktu akak sekolah rendah, ustazah yang mengajar kami tajwid akan meyuruh kami hafal setiap tajuk yang diajar. Memangla tension, tapi ia berkesan!. Alhamdulillah, apa yang disuruh tak sia-sia, akak guna sampai ke harini."

Mereka terus menunduk. Saya menyambung lagi.

"Ingat adik-adik, akak langsung tak berniat untuk marahkan kamu semua, tapi apa yang akak mintak, belajarlah bersungguh-sungguh, buat apa yang akak suruh. Ok, sekarang apa yang kamu nak akak buat dengan kertas-kertas soalan ni? Nak akak tanda? Nak tanda apa? Banyak yang kosong dari yang terisi..? Kalau ikutkan akak tak nak tanda kertas-kertas ni. hmm...ataupun kamu nak buat ujian lagi sekali?"


"Akak buat ujian lagi sekali la minggu depan!." Seorang pelajar menjawab.

"Semua setuju?". Masing-masing mengangguk.

"Ok, minggu depan kita akan buat semula ujian ni untuk tajuk MAKHRAJ HURUF SAHAJA. Tak perlu yang lain. Lebih mudah dari harini. Dan akak nak kamu semua hafal!. Boleh?" Saya sebut satu persatu nama mereka bagi membuktikan perjanjian mereka dengan saya.

"Hari ini, kamu semua telah berJANJI dengan saya untuk menghafal bab MAKHRAJ HURUF. Orang yang memungkiri janjinya, termasuk dalam golongan ORANG MUNAFIK. ORANG MUNAFIK DIBENCI ALLAH. Ingat tu!." Ya, mereka ingat tentang kisah orang munafik, juga ciri-ciri orang munafik.

Harapnya mereka benar-benar menunaikan janjinya. Kemudian, saya meneruskan pelajaran untuk BAB IZHAR KHALQI berdasarkan nota yang telah saya tulis di papan putih tadi. Alhamdulillah, ada sedikit peningkatan, mereka banyak bertanya. Saya meninggalkan mereka dengan tugasan mencari contoh-contoh hukum izhar di dalam Al-Quran.


"Adik-adik, setakat ini saja pelajaran kita hari ini. Akak mintak maaf kalau ada terkasar bahasa atau tertinggi suara. Apa yang akak katakan tadi tak bermaksud untuk menyakiti hati sesiapa tapi ia adalah untuk kebaikan semua. Kita tutup majlis kita dengan tasbih kaffarah dan Surah Al-Asr."

Alhamdulillah, selesai untuk pelajaran harini. Semoga mereka terus istiqamah untuk setiap perubahan yang dilakukan.


"Di sinilah tempatmu bermula.. Semoga di sini menjadikan kamu insan yang berguna pada keluarga, masyarakat, dan agama."

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, nescaya mereka diberi petunjuk oleh Tuhan kerana keimanannya..."

"Sesungguhnya orang2 yang beriman, dan org2 yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." ( QS 2:218)